Monday, January 9, 2012





Hasan Abdullah al-Turabi atau dikenali sebagai al-Turabi dilahirkan pada 1 Februari 1932 di Kasala yang terletak di timur laut Sudan bersempadan dengan negara Eriteria. Beliau mendapat pendidikan awal oleh ayahnya sendiri dengan mempelajari bahasa Arab, ilmu perundangan Islam, ilmu-ilmu berkaitan Syaricah dan Usuluddin, dan menghafaz al-Quran ketika usia masih kecil dengan taranum beberapa riwayat qari’.(Zainudin & Riduan, 2011; 121)


Di dalam bidang akademik, beliau pernah menjawat sebagai Dekan Fakulti Hukum, Universiti Khartoum hanya beberapa tahun dan beliau meninggalkan jawatan tersebut selepas mendapat perlantikan sebagai ahli parlimen dan Sekretari Jenderal Islamic Charte pada tahun Disember 1964. Beliau pernah dipenjara pada tahun 1977 kerana dituduh cuba menjatuhkan pimpinan ketika pemerintahan al-Numeiri. Beliau pernah menjadi ketua penasihat masalah-masalah hukum di luar negeri hingga Mac 1985. Beliau membuat hubungan dengan gerakkan Islam di luar negara seperti Ikhwan Muslimim di Mesir. Oleh disebabkan itu beliau dipenjarakan sekali lagi di Sudan. Kemudian beliau dibebaskan selepas kejatuhan pimpinan rejim al-Numeiri. (Nashrullah & Edidarno, 2003)


Perjalanan pendidikan beliau yang cemerlang dalam bidang Undang-undang dan Kenegaraan telah mengangkat beliau sebagai seorang tokoh politik yang berwibawa. Pada zaman penjajahan British di Sudan, beliau melihat suasana politik Sudan jauh dari prinsip Islam. Hal ini sangat membimbangkan beliau dan beberapa ulama’ Islam di Sudan.
Beliau menggambarkan bahawa manusia yang benar-benar beriman dengan ketauhidan dan menjadikan Tauhid itu sebagai pegangan, mereka akan mengetahui apa yang mereka lakukan iaitu berusaha untuk mencapai penghambaan diri kepada Allah Ta’ala dan amalan penghambaan itu membawa kebahagian di akhirat kelak. (Al-Turabi,2003; 24)



Beliau mengatakan bahawa tidak ada perkara yang penting dalam pembinaan sebuah negara Islam ini melainkan harus berlandaskan doktrin Tauhid sebagai suatu program cIbadat yang menyeluruh dan esklusif. Justeru, al-Turabi sangat menitikberatkan Etika Ilahiah atau Dustur Ilahi harus dijadikan sebagai sebuah alat kawalan aktiviti kehidupan manusia yang bertamadun. Beliau juga mengatakan akal dan wahyu adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dipisahkan.Begitu juga Agama dan Politik.



Selain dari penekanan Syaricat dan Tauhid dijadikan dasar rujukan undang-undang menurut al-Turabi, beliau juga mendefinisikan hukum pemerintahan merupakan asas perundangan kerajaan yang dibuat secara umum. Menurut al-Turabi lagi, ‘Sistem Perlembagaan kerajaan haruslah berbentuk umum (meraikan semua lapisan masyarakat).Selain itu, perlembagaan haruslah disepakati secara persetujuan bersama dan masyarakat bertangungjawab mengikuti undang-undang yang telah disepakati itu.’ (al-Turabi,2003; 93)


Berdasarkan teori di atas, al-Turabi meletakkan penglibatan masyarakat menjadi komponen penting dalam usaha pembinaan sebuah politik dan pimpinan negara. Apabila menyentuh tentang komponen dalam negara, maka manusia yang wujud dalam lingkungan tersebut tidak kira lelaki, perempuan atau bukan Islam perlulah diberikan pencerahan dalam membentuk kebaikan sejagat dan dakwah yang berterusan keatas mereka.


Pengalaman al-Turabi dalam dunia politik menjadikan beliau begitu faham dan mendalami struktur pemerintahan yang harus ditekankan oleh pemimpin negara. Hasrat beliau ingin membina negara Sudan menjadi sebuah negara yang mendirikan hukum syaricat dalam sistem perundangan dapat dihidu oleh musuh. Beliau pernah dilucutkan jawatan,diugut dan dipenjarakan. Kehidupan beliau seperti sesetengah pejuang Islam yang lain. Meskipun hidup di dalam penjara bukanlah satu penghalang bagi beliau untuk berbakti. Beliau sempat menulis beberapa penulisan di dalam penjara. Buku al-Siyasah wal-Hukmu al-Nuzmu al-Sultaniyah Baina Usul wa Sunan al-Waqi’ ini adalah sebuah penulisan beliau ketika di dalam penjara.



Beliau mengarang buku ‘Politik dan Undang-undang Kerajaan’ adalah melalui pengalaman beliau dalam politik selama beberapa dekad dan pengamatan beliau keatas tindakan barat apabila kuasa besar mereka masuk menakluki Kota Sudan. Beliau mengkaitkan penulisan beliau dengan realiti kehidupan awam di pelbagai kawasan yang mempunyai penduduk Islam,serta melalui asas pengajaran Fiqh Islam bagi pembinaan sebuah pemerintahan. Beliau juga merujuk dari sumber-sumber bacaan yang berpegetahuan dan berpengalaman dalam bidang ini.


Inilah antara bukti kesungguhan al-Turabi dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang ulama’ dan pemimpin. Selain daripada beliau memegang amanah sebagai seorang pemimpin, beliau juga banyak mengeluarkan teori-teori tentang politik dan kenegaraan semasa. Perkara ini menjadi satu aspek yang penting bagi beliau untuk selalu dibahaskan dan diketengahkan. Ekoran dari masalah yang dihadapi dewasa ini, beliau telah menyenaraikan tiga kelemahan pemikiran Islam iaitu pertama pemikiran yang terpisah dari prinsip-prinsip agama iaitu bersumberkan wahyu dan bukan dari tangan manusia (Usul al-Din). Kedua adalah pemikiran yang terpisah dari ilmu hakikat (al-Ma’arif al-caqliyah) dan yang ketiga pemikiran yang tidak mampu menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan manusia dan hanya menjadi satu teori semata.(al-Turabi, 2003; 14)


Al-Turabi menjadikan masalah ini adalah satu masalah cakidah manusia mutaakhir ini. Sedangkan pada zaman Rasulullah s.a.w, pengikut-pengikut baginda sentiasa diajak untuk berfikir dan bertindak berlandaskan hukum-hukum syara’ yang telah ditetapkan. Di dalam penulisan al-Turabi ini juga, beliau telah mengupas kaedah fiqh pembaharuan dalam politik dan kenegaraan bagi membatasi fiqh turas (terdahulu). Di mana beliau beranggapan di dalam perbahasan fiqh perlu ada pembaharuan mengikut rentak realiti dan konteks semasa.


Tinjauan kepada perspektif Yusof al-Qardhawi, penting bagi pemimpin menguasai pengetahuan yang luas dalam ilmu fiqh sehingga ke peringkat ijtihad. Justeru itu, para fuqaha’ telah mensyaratkan bagi pemimpin dan para hakim iaitu berkemampuan dalam mengeluarkan ijtihad. Mereka bukan sahaja pemimpin, malah mereka juga ahli fuqaha’ dan mujtahidin Mereka tidak akan menerima pemimpin yang tidak memiliki ciri-ciri tersebut kecuali dalam keadaan kecemasan dan darurat (al-Qardhawi, 2007; 30).



Begitulah antara penekanan yang telah dibawa oleh al-Turabi dalam hal ini. Pandangan al-Turabi ini adalah seperti pandangan kebanyakkan sarjana muslim yang lain. Pendekatan teori yang dikemukakan oleh al-Turabi ini juga mempunyai kesamaan dengan teori kenegaraan Ibnu Khaldun. (Rashid, 2003)
Meskipun kebanyakan penulisan al-Turabi ini tidak merujuk kepada sumber-sumber asal, namun kita dapat melihat kupasan yang beliau bawa mendapat sokongan para sarjana Islam terkemuka.


(1) Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad Nor, Tokoh-tokoh Gerakan ISLAM Abad Moden , Cetakkan keempat, Terrbitan Jundi Resourses, Kuala Lumpur, 2011.
(2) M.S Nashrullah dan T. Edidarno, Fiqih Demokratis, terjemahan dari buku Tajdid al-Fikr al-Islami karya Hasan al-Turabi Penerbitan Arasy, Bandung, 2003 hlm 11.
(3) Hassan al-Turabi, As-Siyasah wal-Hukmu an-Nuzmu az-Sultaniyah Baina Usul wa Sunan al-Waqi’,terbitan Darul Saqi, London 2003.

(4) Sila lihat laman web http://www.aljazeera.net/NR/exeres/61F36136-6315-4F8E-A8D3-6F3925F8008E.htm#L2 , merupakan satu diskusi kitab al-Turabi iaitu as-Siyasah wal-Hukmu an-Nuzum, London, 2003.
(5) Sila rujuk laman web,suntingan Ibrahim al-Gharaieybah, http://www.aljazeera.net/NR/EXERES/A0B0CB8D-BDF2-4271-8C63-5D218B8EC20B.htm
(6) M.S Nashrullah dan T. Edidarno, Fiqih Demokratis, terjemahan dari buku Tajdid al-Fikr al-Islami karya Hasan al-Turabi Penerbitan Arasy, Bandung, 2003
(7) Yusof al-Qardhawi, Feqh Daulah fil Islam, Terbitan Darul Syuruk, Mesir 2007.

No comments:

Post a Comment